Selasa, 10 Februari 2009

VALENTINE'S DAY..??



HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN VALENTINE'S DAY

...budaya dan amalan meraikan Valentine's Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat...


Pendahuluan

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine's Day mula membudayai dalam kalangan masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun media elektronik. Perayan ini dikenali sebagai perayaan hari kasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkap perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi.

Antara contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program tv yang ditayangkan atas nama "Valentine's Special". Disamping itu, jika kita tinjau persiapan yang dilakukan oleh golongan yang meraikannya, didapati mereka sibuk memilih kad2 ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing2. Pihakhotel pula menawarkan pakej2 istimewa seumpama 'Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik' dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Namun, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa. Mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang2an serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.


Sejarah Permulaan Valentine's Day

Kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini hanya mengikut apa sahaja yang datang dari barat tanpa mahu mempersoalkan sama ada Valentine's Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Terdapat 3 pendapat mengenai asal-usul Valentine's Day :

  1. Valentine's Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi Juno ratu kepada dewa2 dan dewi2 Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama2 gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

  2. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang2 Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

  3. Pendapat ketiga mengatakan Valentine's Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah ditempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova karana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih2 lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Hujjah dan Dalil

Islam sanagt prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi2 yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;

Bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad) : Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku."

(al-Kafirun : ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal2 bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. :

Bermaksud : " Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Kesimpulannya

Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine's Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur2 ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.





Rujukan :

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa :

"Amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur2 Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam."

Dariku :

asy menyeru kepada remaja Islam di luar sana selain diriku ini agar kembali kepada agama Islam yang ajarannya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia melakukan kemungkaran. Kembalilah pada tradisi dan budaya sendiri. Janganlah menjadi masyarakat yang rosak akhlaknya dek mengikut ajaran sonsang yang memusnahkan kesucian agama Islam kita.

Mungkin ada yang merasa bosan membaca artikel ini kerana telah pun mengetahuinya tapi asy saja ingin mengingatkan kembali kepada rakan2 akan keburukan gejala sosial ini dek terdengar perbualan sekumpulan rakan2 asy semasa pertemuan kelmarin yang masih naif akan sejarah Valentine's Day ini. Mungkin usaha yang tidak seberapa ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya, insya-Allah.

Wallahu a'lam..

















0 ulasan: